IPP M’sia meningkat 2.3 peratus

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat 2.3 peratus pada Sept 2018 berbanding bulan yang sama sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan pada bulan tersebut disokong oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (4.8 peratus) dan indeks elektrik (4.2 peratus), manakala indeks perlombongan mencatatkan penyusutan sebanyak 6.2 peratus.

Output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.8 peratus pada September selepas mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus pada Ogos, dipacu oleh sub-sektor utama seperti produk peralatan elektrik dan elektronik (5.5 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.8 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (6.9 peratus).

“Output elektrik meningkat sebanyak 4.2 peratus pada September selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 4 peratus pada Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, output sektor perlombongan mencatatkan penyusutan 6.2 peratus pada September berbanding tempoh sama tahun lepas, disebabkan kejatuhan dalam indeks gas asli (-6.2 peratus) dan indeks minyak mentah (-6.3 peratus). – Bernama

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kiri) semasa menghadiri majlis sambutan Hari Statistik Negara 2018 pada 20 Oktober lalu. Menurut Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, peningkatan IPP disokong oleh indeks pembuatan dan indeks elektrik. – Bernama