Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iqamah sembahyang: bila sepatutnya jemaah berdiri?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Semasa hendak mendirikan sembahyang jemaah, ada beberapa perkara yang dituntut melaksanakannya sama ada ia merupakan syarat berjemaah, adab-adabnya ataupun perkara-perkara yang disunatkan.

    Iqamah adalah antara perkara yang dituntut melaksanakannya dalam sembahyang jemaah. Ia sunat dilaungkan sebelum mendirikan sembahyang fardhu secara jemaah. Malah iqamah juga disunatkan bagi orang yang hendak mendirikan sembahyang fardhu secara seorang diri.

    Pada kelazimannya, seorang bilal atau seumpamanya akan berdiri melaungkan iqamah bagi menandakan sembahyang jemaah akan dilakukan. Dalam hal ini, bilakah sewajarnya para jemaah bangun berdiri untuk mendirikan sembahyang?

    Berdiri setelah selesai iqamah

    Orang yang ingin mendirikan sembahyang jemaah sama ada imam ataupun makmum disunatkan untuk tidak bangun berdiri sehinggalah bilal selesai melaungkan iqamah. Ini kerana waktu selesai iqamah itu adalah waktu untuk mendirikan sembahyang jemaah. Sementara waktu sebelum selesai iqamah pula adalah waktu yang digunakan untuk menjawab seruan iqamah.

    Ini bererti jemaah yang sedang duduk disunatkan untuk tidak bangun berdiri dan jemaah yang sedang berbaring atas lambungnya disunatkan untuk tidak duduk sehinggalah bilal selesai melaungkan iqamah. Demikian juga, sekiranya jemaah itu hendak mendirikan sembahyang dalam apa jua keadaannya pada masa itu sama ada dia berdiri, duduk atau seumpamanya, tidak disunatkan baginya bertawajjuh (menghadap untuk sembahyang) sehinggalah bilal selesai melaungkan iqamah.

    Iqamah adalah antara perkara yang dituntut melaksanakannya dalam sembahyang jemaah. – Agensi

    Lambat bangun kerana susah berdiri

    Jemaah yang lambat bangun kerana susah berdiri seperti uzur, sekiranya dia bangun berdiri setelah selesai bilal melaungkan iqamah nescaya dia akan terlepas kelebihan mengangkat takbiratulihram bersama imam, maka dalam hal ini dia boleh bangun berdiri sebelum bilal selesai melaungkan iqamah iaitu sekira-sekira waktu dia sempat mengangkat takbiratulihram bersama imam.

    Ini sama juga halnya dengan jemaah yang ingin berada di saf pertama sedang dia pada ketika itu berada jauh. Jika dia bangun berdiri setelah selesai bilal melaungkan iqamah dan dia menuju ke saf pertama nescaya dia akan terlepas kelebihan mengangkat takbiratulihram bersama imam, maka dalam hal ini dia boleh bangun berdiri sebelum bilal selesai melaungkan iqamah.

    Menurut Imam al-Mawardi Rahimahullah, jemaah tua yang lambat bangun sayugialah berdiri ketika bilal melaungkan iqamah pada lafaz: Qadqamatis Solah sementara jemaah yang boleh bangun cepat pula hendaklah berdiri setelah bilal selesai melaungkan iqamah agar mereka berdiri serentak dalam waktu yang sama.

    Masuk masjid sedang bilal melaungkan iqamah

    Jika seseorang masuk ke dalam masjid sedang bilal melaungkan iqamah atau hampir waktu untuk melaungkan iqamah, maka adalah lebih utama baginya untuk terus kekal berdiri ketika itu dan makruh baginya mendirikan sembahyang sunat. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Jika sembahyang hendak didirikan (Iqamah) maka tidak ada sembahyang (sunat) melainkan sembahyang fardhu.”

    (Hadis riwayat Muslim)

    Iqamah dilaungkan ketika sebila-ngan jemaah mendirikan sembahyang sunat

    Jika terdapat sebilangan jemaah mendirikan sembahyang sunat lalu bilal melaungkan iqamah, maka dilihat pada beberapa keadaan berikut:

    Jika sebilangan jemaah yang mendirikan sembahyang sunat itu tidak takut akan terlepas sembahyang berjemaah iaitu sempat berjemaah walaupun sebelum imam memberi salam, namun hendaklah dilihat lagi kepada dua keadaan berikut:

    Sekiranya dia mendirikan sembahyang sunat dengan menentukan bilangan rakaat, maka sunat baginya menyempurnakan sembahyang sunatnya itu.

    Sekiranya dia mendirikan sembahyang sunat tanpa menentukan bilangan rakaat, maka ringkaskanlah sembahyang sunatnya itu kepada dua rakaat.

    Sekiranya sebilangan jemaah yang mendirikan sembahyang sunat itu takut akan terlepas sembahyang berjemaah iaitu jika dia meneruskan sembahyang sunatnya nescaya imam akan memberi salam sebelum dia selesai mendirikan sembahyang sunat, maka sunat baginya memutuskan (membatalkan) sembahyang sunatnya itu.

    Sekiranya sebilangan jemaah yang mendirikan sembahyang sunat itu tahu akan ada sembahyang jemaah kedua selepas sembahyang jemaah pertama, maka sunat baginya menyempurnakan sembahyang sunatnya itu.

    Sekiranya sebilangan jemaah itu sedang mendirikan sembahyang sunat lalu bilal melaungkan iqamah untuk mendirikan sembahyang fardhu Jumaat, maka wajib dia memutuskan (membatalkan) sembahyang sunatnya itu sekiranya ia menyebabkan terlepasnya rukuk pada rakaat kedua bersama imam.

    Demikianlah beberapa penjelasan mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh para jemaah apabila iqamah dilaungkan. Para jemaah yang duduk disunatkan untuk tidak bangun berdiri sehinggalah bilal selesai melaungkan iqamah kecuali dalam beberapa keadaan tertentu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda