Mahu memiliki kehidupan yang lebih selesa, usahawan Iqbal Zulkefli sanggup berhabisan dengan membeli sebuah banglo mewah berharga RM5 juta yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.
Iqbal atau Ahmad Iqbal Zulkefli, 28, berkata, selain keluasan rumah yang lebih besar, dia memilih Bangsar kerana lokasinya berhampiran dengan ibu kota Kuala Lumpur dan memudahkan urusan hariannya.
“Sekarang ini rasanya lebih mudah tinggal di tengah-tengah bandar. Rumah ini bukan sahaja untuk tempat tinggal tetapi boleh dijadikan pejabat untuk saya bekerja,” katanya kepada mStar.
Iqbal memberitahu urusan jual beli daripada pemilik asal memakan masa tempoh sebulan dan bakal berpindah ke kediaman itu pada Ogos ini.
Sebelum berpindah kata Iqbal, dia ingin melakukan beberapa pengubahsuaian pada kediaman itu mengikut cita rasanya sendiri.
Tidak hanya melakukan pengubahsuaian, Iqbal juga akan membeli perabot baharu untuk kediamannya itu dan tidak membawa semua barang-barang dari rumah lama.
“Selain siapkan bilik untuk anak, saya juga akan buat rumah untuk kucing-kucing saya nanti. Rasanya jumlah keseluruhan untuk pindah rumah ini tidak kurang daripada RM7 juta,” ujarnya.
Bukan sahaja untuk diri sendiri, bekas peserta Big Stage 2022 itu juga berharap dengan adanya kediaman baharu itu, ia sekali gus dapat dimanfaatkan kepada orang lain.
“Selepas ini mudahlah untuk saya adakan majlis kerana boleh jemput ramai orang. Saya juga boleh adakan majlis agama dengan menjemput anak pelajar tahfiz atau anak yatim,” jelasnya. – Agensi