KOTA BHARU, 3 FEB – Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia (MFMP) akan menggantung petinju dari Thailand Iquezang, daripada menyertai pertandingan di negara ini, susulan tindakan petinju itu menarik diri ketika bertarung dalam satu kejohanan antarabangsa di Kota Bharu, Sabtu lalu.
Presidennya Datuk Seri Dr Mohd Fared Abd Ghani berkata, keputusan itu diambil berikutan petinju terkenal dari negara jiran itu, bertindak tidak profesional ketika bertarung menentang petinju kelahiran Estonia Andi Ustalu, pada Kejohanan KMC Fight.
“Pada perlawanan julung kali diadakan tanpa memakai sarung tangan (Kard Chuek) itu, Iquezang hanya sempat bertarung beberapa minit sahaja, sebelum menarik diri berikutan rebah akibat terkena tumbukan di bahagian dada.
“MFMP melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap insiden ini (Iquezang tarik diri) apatah lagi ia merupakan perlawanan ‘Kard Chuek’ yang pertama seumpamanya berlangsung di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Fared berkata pihaknya akan turut menghantar surat bantahan kepada Konsulat Jeneral Thailand di Kelantan, Pejabat Sukan Negara Thailand dan kelab yang diwakili petinju itu.
“Malah penganjur, Kelantan Muay Thai Channel (KMC) juga tidak terlepas apabila diarah memberi penjelasan bertulis, berhubung insiden memalukan itu.
“Bayangkan lebih 8,000 peminat hadir semata-mata untuk melihat pertembungan hebat dua petinju (Iquezang dan Andi Astalu) itu, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya,” katanya. – Bernama