Irama 90an kini jadi pilihan Afieq Shazwan

Meskipun membesar pada era muzik berbeza, penyanyi Afieq Shazwan mengakui sangat meminati lagu-lagu berentak balada era 1990an.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 24, berkata, dia tidak menyangka percubaan pertama tampil dengan rakaman semula lagu era tersebut, Malam Semakin Dingin (duet bersama Tajul) sebelum ini berjaya meraih perhatian ramai. Lagu nyanyian asal Allahyarham Achik Spin itu menjadi tular dan meraih 15 juta tontonan di YouTube rasmi FMC Music setelah dilancarkan dua bulan lalu.

Memenuhi permintaan peminat, Afieq sekali lagi mengetengahkan irama tersebut menerusi lagu rakaman semula, Layu Di Hujung Mekar yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Rio.

“Alhamdulillah saya bersyukur percubaan menyanyikan kembali lagu-lagu berhantu era itu mendapat sambutan dan sokongan daripada pencinta muzik tanah air.

“Saya sangat gembira kerana selain meminati lagu-lagu ini, ia juga dapat menonjolkan kelainan dan menguji kemampuan vokal menyanyikan lagu balada bernada tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Afieq yang sebelum ini tampil dengan single bergenre reggaeton dan pop Latin terkejut apabila Layu Di Hujung Mekar versi baharu itu mendapat sambutan hangat sehingga berjaya meraih tiga juta tontonan sejak dilancarkan sebulan lalu.

“Asalnya saya nyanyikan lagu ini secara suka-suka sahaja. Saya rakam dan siarkan di Instagram (IG).

“Tak sangka pula maklum balas daripada pengikut IG dan peminat sangat positif. Ramai yang minta saya buat lagi lagu-lagu cover era 1990an ini.

“Lagu nyanyian asal kumpulan Rio ini kebetulannya merupakan karya terbitan syarikat rakaman saya, FMC Music. Jadi bila berbincang dengan pihak pengurusan, kami sepakat untuk rakam semula lagu ini,” ujarnya. – Agensi

Afieq Shazwan mengakui sangat meminati lagu-lagu berentak balada era 1990an. – Agensi