Iran bakal lancar satelit baharu

TEHRAN, 9 FEB – Iran memulakan detik pengiraan hari ini untuk pelancaran satelit pengawasan saintifik yang membentuk sebahagian daripada program yang disifatkan oleh Amerika Syarikat sebelum ini sebagai satu ‘provokasi.’

Musuh ketat Iran dan Amerika Syarikat hampir-hampir menghadapi konfrontasi habis-habisan dua kali sejak tahun lalu.

Perselisihan lama di antara Tehran dan Washington telah bertambah buruk pada 2018 apabila Presiden AS Donald Trump menarik diri daripada perjanjian yang membeku program nuklear Iran, sebelum mengeluarkan tuntutan baharu meminta pembangunan peluru berpandu balistik disekat.

Iran menegaskan ia tidak mempunyai hasrat untuk memperoleh senjata nuklear, dan berkata aktiviti ruang aeroangkasa lepasnya adalah bersifat aman dan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB.

“Memulakan pengiraan detik pelancaran #Satelit Zafar dalam tempoh beberapa jam… Dalam nama Tuhan,” tulis menteri telekomunikasi Iran, Mohammad Javad Azani Jahromi, di Twitter.

Beliau tidak menyatakan bila satelit akan dilancarkan.

Pada 1 Februari, ketua agensi angkasa lepas Iran berkata Zafar seberat 113 kilogram akan dilancarkan ke orbit kira-kira 530 kilometer di atas Bumi oleh roket Simorgh.

‘Misi utamanya’ adalah mengumpul gambar, beritahu Morteza Berari kepada AFP, menambah Iran memerlukan data sedemikian untuk mengkaji gempa bumi, menghadapi dan mengatasi bencana semula jadi dan memajukan pertaniannya.

Zafar dicipta untuk beroperasi lebih ‘daripada 18 bulan,’ tambah beliau.

Sementara program satelit republik Islam itu telah membimbangkan beberapa negara Barat, Berari berkata Iran menyokong ‘penggunaan ruang angkasa lepas luar’ dan aktivitinya adalah ‘telus.’

Pelancaran Zafar dijadual diadakan beberapa hari sebelum ulang tahun ke-41 Revolusi Islam dan pilihan raya parlimen di Iran. Ia diadakan ketika ketegangan memuncak di antara Tehran dan Washington, selepas serangan dron AS membunuh jeneral tertinggi Iran Qasem Soleimani di Baghdad pada 3 Januari. – AP