Iran bebaskan pensyarah dituduh mengintip

SYDNEY, 26 NOV – Seorang pensyarah Australia-British yang dipenjarakan kerana mengintip oleh Iran telah dibebaskan selepas dipenjara dua tahun, dalam pertukaran untuk tiga warga Iran yang dikaitkan dengan komplot pengeboman di Bangkok.

Ahli akademik Timur Tengah Kylie Moore-Gilbert berkata hari ini bahawa meninggalkan Iran adalah pengalaman ‘pahit manis’ meskipun ‘ketidakadilan’ yang dialaminya semasa ditahan lebih daripada 800 hari dalam penjara paling ketat negara.

“Saya datang ke Iran sebagai kawan dan dengan niat ikhlas,” katanya, memuji penduduk Iran yang pemurah dan berani, meskipun apa yang digelarnya pengalaman traumatik.

Wanita berusia 33 tahun itu ditahan oleh Pengawal Revolusi Islam pada 2018, selepas menghadiri persidangan akademik di bandar Qom di tengah Iran. Beliau didakwa mengintip dan dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun. Pembebasannya merupakan sebahagian daripada pertukaran tahanan untuk tiga lelaki: Masoud Sedaghatzadeh, Mohammad Khazaei dan Saeid Moradi, yang meletup kakinya sendiri dengan bom buatan sendiri.

Ketiga-tiga mereka dikaitkan dengan komplot untuk membunuh diplomat Israel di Thailand pada 2012. – AFP