Iran berdepan gelombang ketiga jangkitan, perniagaan ditutup

TEHRAN, 22 NOV – Iran mengumumkan semalam ia telah menutup perniagaan tidak penting di lebih separuh

daripada bandar utamanya selama dua minggu dan memperkenalkan sekatan pergerakan untuk mengawal wabak koronavirus.

Republik Islam itu telah mengelak mengenakan sekatan sepenuhnya sejak ia dibelenggu COVID-19 pada Februari, dengan Presiden Hassan Rouhani berkata ekonomi negara tidak boleh ditutup untuk tempoh lama.

Pasukan petugas koronavirus Iran mengumumkan semalam bahawa hanya perkhidmatan penting – termasuk pusat kesihatan dan farmasi, kedai makan dan pengangkutan awam – dibenarkan dibuka di kawasan risiko tertinggi negara, selama dua minggu.

Kenderaan persendirian juga dilarang daripada meninggalkan kawasan yang paling teruk terjejas sehingga notis seterusnya, dan dilarang daripada bergerak di antara 9 malam dan 4 pagi di Tehran dan bandar besar lain.

Pasukan petugas berkata lebih 53 juta daripada 80 juta penduduk Iran akan terjejas oleh langkah itu.

Presiden Hassan Rouhani mengingatkan bahawa republik Islam itu sedang berdepan ‘gelombang ketiga’ jangkitan dan berkata sekatan baharu merupakan isyarat kepada penduduk Iran bahawa masalah yang dihadapi adalah ‘amat serius.’ – AFP