Iran berhasrat jalin kerjasama dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 NOV – Iran berminat untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor kesihatan dengan Malaysia, khususnya bidang ubat-ubatan dan pembangunan peralatan perubatan, kata Dutanya ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi. 

Semasa kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Wisma Bernama di sini pada Selasa, beliau berkata Iran telah mencapai kemajuan ketara dalam bidang ini termasuk keupayaan untuk membangunkan sendiri vaksin COVID-19. Beliau berkata Iran bersedia untuk berkongsi kepakarannya dengan Malaysia.

“Apabila pertama kali dilanda COVID-19, kami terkejut kerana kita semua tidak tahu mengenainya tetapi  saintis kami segera memulakan penyelidikan dan cuba mendapatkan beberapa pengalaman dari negara lain.

“Kami mengadakan kerjasama sangat baik dengan Cuba untuk vaksin itu dan ia adalah antara yang terkuat di dunia. Dan kami berjaya bekerjasama dengan Rusia. Saya rasa sebuah syarikat swasta di Iran juga dapat bekerjasama dengan sebuah syarikat Australia,” katanya.

Menurut laporan Tehran Times, 14 vaksin COVID-19 sedang dibangunkan di negara itu dengan beberapa daripadanya telah menerima lesen untuk kegunaan awam dan yang lain masih dalam fasa kajian yang berbeza.

Ini termasuk COVIran Barekat yang dibangunkan Shifa Pharmed Industrial Group; Pastu Covac, dihasilkan bersama Institut Pasteur Iran dan Institut Vaksin Finlay Cuba; Razi Cov Pars oleh Institut Penyelidikan Vaksin dan Serum Razi; dan vaksin Fakhra oleh Pertubuhan Inovasi dan Penyelidikan Defensif.

Mohammadi berkata disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu, Iran telah membangunkan sistem pendidikannya sendiri untuk negara berdikari dalam bidang seperti penjagaan kesihatan. – Bernama

Duta Besar Iran ke Malaysia Ali Asghar Mohammadi mengongsikan Iran berminat untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor kesihatan dengan Malaysia,