Iran beri amaran krisis belum berakhir

TEHRAN, 2 APRIL – Iran hari ini melaporkan 124 kematian baharu akibat koronavirus, meningkatkan jumlahnya kepada 3,160, ketika Presiden Rouhani memberi amaran negara itu mungkin masih bertarung dengan pandemik pada tahun berikutnya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour mengumumkan jumlah terkini dalam sidang media dan mengesahkan 3,111 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, membawa jumlahnya kepada 50,468.

Menurutnya 16,711 mereka yang dimasukkan ke hospital setakat ini sudah sembuh.
Iran telah bergelut untuk mencegah penularan COVID-19 sejak ia melaporkan kes pertama pada 19 Februari.

Selepas berminggu-minggu bertahan daripada mengenakan perintah berkurung atau langkah kuarantin, Tehran memutuskan minggu lalu untuk menegah semua perjalanan antara bandar sehingga kira-kira 8 April.

Tidak ada perintah berkurung rasmi antara bandar-bandar Iran, walaupun kerajaan telah berulang kali menggesa warga Iran untuk kekal dalam rumah bagi membendung penularan virus.

Rouhani memberi amaran mesyuarat kabinet hari ini bahawa tidak ada penyelesaian pantas.

“Koronavirus bukan sesuatu yang kita boleh tentukan pada tarikh tertentu dan katakan ia akan sepenuhnya dibasmi pada sekian, sekian,” katanya.

Rouhani berkata virus itu ‘mungkin akan bersama kita dalam masa beberapa bulan akan datang atau sehingga hujung tahun Iran, pada Mac 2021′. – AFP