Iran catat kes harian tertinggi baharu

TEHRAN, IRAN, 20 OKT – Iran hari ini melaporkan jumlah kes harian koronavirus tertinggi baharu sejak penularan wabak tersebut dengan mencatatkan lebih 5,000 jangkitan, ketika negara itu berjuang untuk mengatasi peningkatan penularan virus.

Kementerian kesihatan Iran juga melaporkan bahawa 322 orang meninggal dunia akibat virus tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 31,000 orang. Jumlah jangkitan baharu hari ini melonjak tinggi daripada sebelumnya yang mencatatkan 4,830 kes minggu lalu, memaksa negara itu untuk terus berusaha memerangi wabak maut itu.

Iran kini menyaksikan gelombang kematian terburuk akibat penyakit itu dalam beberapa minggu terakhir.

Jumlah kematian kelmarin telah mencatatkan rekod harian tertinggi sebelumnya, menyebabkan akhbar negara itu menggambarkannya sebagai hari malang untuk negara itu.

Hospital di ibu negara Tehran kini telah dibanjiri oleh banyak pesakit. Minggu lalu, pegawai kesihatan mengumumkan bahawa kota itu kekurangan tempat rawatan rapi untuk pesakit virus.

Sementara itu, timbalan ketua organisasi jururawat Iran, Hamidreza Azizi, mengumumkan bahawa 31,000 jururawat telah dijangkiti dengan koronavirus di negara itu, dengan 6,000 pada masa ini sakit dan tinggal di rumah dan 54 disahkan meninggal dunia, menurut agensi berita IRNA yang dikendalikan oleh kerajaan. – AFP

Penduduk Iran dilihat memakai penutup mulut dan hidung bagi mengekang penularan virus di Tehran. Iran kelmarin melaporkan jumlah kes harian koronavirus tertinggi baharu sejak penularan wabak tersebut dengan mencatatkan lebih 5,000 jangkitan. – AFP