Iran catat satu lagi rekod kematian tinggi

TEHRAN, 24 OGOS – Iran mengumumkan lebih daripada 700 kematian akibat koronavirus hari ini, satu lagi rekod tertinggi republik Islam itu ketika ia bergelut mengekang peningkatan jangkitan.

Kementerian Kesihatan melaporkan virus itu meragut sejumlah 709 nyawa dalam masa 24 jam lalu, melebihi rekod harian sebelumnya sebanyak 684 kematian pada Ahad lalu.

Pandemik itu sudah pun meragut 103,357 nyawa daripada sejumlah 4,756,394 kes jangkitan, menurut kementerian, yang statistiknya diakui pegawai lebih rendah berbanding jumlah sebenar.

Presiden baharu Iran, Ebrahim Raisi pada Sabtu lalu mengatakan kerajaannya akan mengutamakan usaha menangani COVID-19 dan mempercepatkan vaksinasi. – AFP

Warga Iran memakai pelitup muka membeli rempah di Bazar Tajrish di Tehran. Negara itu mencatatkan satu lagi rekod kematian tinggi sebanyak 709 orang, kelmarin. –AFP