Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Iran dakwa ejen Israel sabotaj loji nuklear

    TEHRAN, 15 MAC – Media kerajaan melaporkan pihak berkuasa Iran menahan anggota rangkaian dikaitkan dengan Israel yang cuba mensabotaj loji pengayaan nuklear utama negara.

    Agensi berita IRNA melaporkan, suspek didakwa merancang untuk mensabotaj kemudahan Fordo dan sudah ditangkap perkhidmatan perisikan Pengawal Revolusi.

    Fordo adalah kemudahan pengayaan uranium bawah tanah terletak di luar pusat bandar Qom, sekitar 180 kilometer (km) di selatan Tehran.

    IRNA bagaimanapun tidak menyatakan identiti suspek atau menyatakan berapa ramai ditangkap, namun agensi itu berkata, ejen perisikan Israel cuba ‘mendekati’ seorang pekerja di Fordo selepas ‘merekrut’ seorang jirannya, untuk mendapatkan maklumat tentang alatan digunakan di kemudahan itu.

    Iran sebelum ini berulang kali menuduh ejen Amerika Syarikat (AS) atau Israel mengintip dan cuba mensabotaj program nuklearnya, termasuk dengan membunuh saintis.

    Pada Ogos 2012, pensabotaj juga meletupkan talian kuasa pembekalan Fordo.

    Dua tahun kemudian, Iran berkata, mereka menangkap beberapa ‘perisik’ di wilayah Bushehr, di mana loji nuklear tunggal negara itu berpusat.

    Pada 2020, Tehran menuduh Israel bertanggungjawab atas pembunuhan saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh dalam serangan di sini.

    Pada tahun berikutnya juga, mereka mendakwa Israel bertanggungjawab dalam ‘letupan kecil’ berlaku di loji pengayaan uranium Natanznya.

    Dakwaan semalam pula hadir ketika lawatan Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian ke Moscow bagi rundingan nuklear.

    Rundingan di Vienna untuk memulihkan perjanjian nuklear Iran 2015 dengan kuasa dunia baru-baru ini, dilihat sudah mencapai kemajuan, namun dihentikan selepas Russia awal bulan ini menuntut jaminan bahawa sekatan Barat dikenakan berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine tidak akan merosakkan perdagangannya dengan Iran. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...