Iran dedah 2 peluru berpandu jarak dipertingkatkan

TEHRAN, 20 OGOS – Iran hari ini mendedahkan dua peluru berpandu yang dikatakannya boleh terbang bagi jarak lebih jauh daripada sebelumnya, menamakannya sempena nama komander yang terbunuh dalam sera-ngan AS di Iraq pada Januari lalu.

“Berkaitan dengan peluru berpandu krus, hari ini kami telah mempertingkatkan jaraknya dari 300 kepada 1,000km, dalam masa kurang dari dua tahun,” kata Presiden Iran, Hassan Rouhani semasa majlis yang disiarkan dalam televisyen di Tehran.

Pendedahan peluru berpandu itu muncul sehari selepas Washington berkata ia akan mengaktifkan mekanisme kontroversi yang menyasarkan sekatan semula PBB ke atas Iran, dipanggil prosedur ‘tindak balas’ (snapback).

‘Snapback’ bertujuan untuk mengenakan semula semua sekatan antarabangsa ke atas Iran yang telah dibatalkan ketika persetujuan 2015 bersama Tehran bagi menghalang negara itu daripada membangunkan senjata nuklear.

Salah satu peluru berpandu baharu itu dinamakan Haj Qasem sempena jeneral tertinggi Iran, Qasem Soleimani, yang terkorban dalam serangan Amerika di Baghdad pada Januari.

Televisyen kerajaan memuji kepantasan peluru balistik sebagai ‘senjata panjang Iran untuk menyerang penceroboh’ dan menyeru orang ramai untuk tidak melupakan ‘Ain al-Assad,” pangkalan tentera Iraq yang menempatkan askar Amerika, yang dibedil oleh misil Iran sebagai tindak balas atas pembunuhan Soleimani.

Peluru berpandu lain dinamakan sempena Abu Mahdi al-Muhandis, leftenan Iraq Soleimani, yang terbunuh dalam serangan sama di Baghdad.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana menamakan salah satu peluru berpandu paling penting sempena Jeneral Soleimani,” kata Rouhani. – AFP

Peluru berpandu Haj Qassem di sebuah lokasi yang tidak didedahkan di Iran. Iran telah mendedahkan dua peluru berpandu pada 20 Ogos. – AP