Iran desak bantuan IMF

TEHRAN, 8 APRIL – Presiden Iran, Hassan Rouhani merayu kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini untuk meluluskan permohonan pinjaman kecemasan sebanyak AS$5 bilion untuk menangani wabak koronavirus (COVID-19).

“Saya menggesa semua organisasi antarabangsa untuk menjalankan tugas mereka,” kata Rouhani semasa mesyuarat kabinet.

“Kami adalah ahli IMF … jika ada apa-apa diskriminasi antara Iran dan pihak lain dalam pemberian pinjaman, kami atau negara lain juga tidak akan sependapat mengenainya,” katanya dalam kenyataan televisyen.

Iran mengumumkan pada 12 Mac bahawa ia telah memohon pinjaman daripada IMF untuk membantu menangani wabak COVID-19 yang telah memberi kesan yang mendalam terhadap negara itu dan juga dunia.

Iran tidak mendapat bantuan daripada IMF sejak pengeluaran kredit tersedia antara tahun 1960 dan 1962, menurut laporan IMF.

Menurut laman web IMF, Instrumen Kewangan Rapid “tersedia untuk semua negara anggota yang menghadapi keperluan imbangan pembayaran segera.”

Iran mengatakan ia telah mengesahkan lebih daripada 62,500 jangkitan koronavirus dan lebih daripada 3,800 kematian.

Tetapi terdapat spekulasi di luar negara bahawa bilangan sebenar kematian dan jangkitan mungkin lebih tinggi. “Sekiranya mereka tidak melakukan tugas mereka dalam keadaan yang sukar ini, dunia bakal kehilangan keyakinan terhadap badan kewangan berkenaan,” kata Rouhani. – AFP

Gambar fail pada 30 Mac lalu menunjukkan pasukan perubatan ketika mengusung mayat korban akibat COVID-19 di luar Tehran. Iran merayu kepada Tabung Kewangan Antarabangsa kelmarin untuk meluluskan pinjaman kecemasan sebanyak AS$5 bilion untuk menangani wabak koronavirus. – AP