Iran digesa patuhi perjanjian

TEHRAN, 10 JUN – Menteri Luar Negeri Jerman, Heiko Maas berkata hari ini ia adalah dalam ‘kepentingan politik dan strategik’ Iran untuk kekal dalam perjanjian nuklear 2015, ketika pemerhati atom PBB menyuarakan kebimbangan ketegangan meningkat berhubung perjanjian penting itu.

Maas yang dalam lawatan ke Tehran juga menekankan yang perjanjian itu – telah tergantung sejak Amerika Syarikat (AS) berundur daripada perjanjian itu tahun lepas – adalah ‘amat penting’ bagi Eropah.

Iran telah menandatangani persetujuan penting bersama China, Rusia, Jerman, Britain, Perancis dan AS, yang membawa kepada pengurangan sekatan sebagai pertukaran bagi Tehran untuk mengekang program nuklearnya.

Namun pentadbiran Presiden AS, Donald Trump telah mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Iran selepas berundur daripada perjanjian yang secara rasminya dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Pada 8 Mei, Iran membalas balik dengan mengatakan ia tidak lagi menganggap dirinya terikat untuk kekal mengehadkan stok air berat dan memperkaya uranium yang telah dipersetujui sebahagian daripada perjanjian itu.

Menteri Luar Negeri Iran, Mohammad Javad Zarif (kanan) bersama rakan sejawatan Jerman, Heiko Maas semasa sidang media bersama di bandar Tehran pada 10 Jun. – AFP

Iran juga telah menyalahkan Eropah kerana tidak berpegang pada komitmen mereka.

Maas bertemu Menteri Luar Negeri Iran, Mohammad Javad Zarif hari ini di Tehran untuk membincangkan masa depan perjanjian nuklear.

“Kami mengadakan perbincangan panjang, serius dan jujur,” kata Zarif memberitahu para wartawan pada sidang media bersama selepas rundingan bersama Maas.

“Bersama dengan Jerman dan Kesatuan Eropah, kami mempunyai matlamat sama: untuk mengekalkan (perjanjian nuklear), menamatkan ketegangan dan konflik di rantau itu dan (membenarkan) rakyat Iran mendapat faedah secara ekonomi (daripada persetujuan ini),” katanya.

Menjelang bertemu Zarif, menteri luar Jerman mengakui yang faedah ekonomi yang Tehran harapkan daripada perjanjian itu kini ‘lebih sukar untuk diperolehi’ namun menggesa Iran untuk sepenuhnya menghormati persetujuan tersebut.

Ia adalah dalam ‘kepentingan politik dan strategik untuk mengekalkan persetujuan ini dan dialog bersama Eropah’, katanya.

Perjanjian nuklear itu, katanya, adalah ‘sangat-sangat penting’ bagi keselamatan Eropah.

“Kami tidak mahu Iran memiliki senjata nuklear,” kata Maas.

Menurut Maas, Jerman dan rakan Eropahnya ‘telah membuat usaha besar untuk memenuhi komitmen mereka’.

Namun Iran berfikir sebaliknya.

“Apa yang Eropah harus lakukan dan telah lakukan sejauh ini, tidak memenuhi” kepentingan kami, kata jurucakap kementerian luar negeri iran, Abbas Mousavi kepada sidang media hari ini.

“Apa yang kami jangkakan dari Kesatuan Eropah adalah mereka bertindak mengikut komitmen mereka, namun mereka tidak mahu atau tidak boleh,” tambahnya. – AFP