Iran diminta bayar vaksin menerusi bank AS

TEHRAN, 27 DIS – Presiden Hassan Rouhani berkata semalam Washington menuntut transaksi Iran untuk vaksin koronavirus dilakukan menerusi bank Amerika Syarikat (AS), dan meluahkan kebimbangan wang berkenaan mungkin dirampas.

Presiden AS Donald Trump telah mengenakan beberapa siri sekatan ke atas republik Islam itu sejak 2018, apabila beliau menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran.

Aset Iran telah dibekukan di beberapa negara, termasuk di AS.

‘Kami mahu memindah wang dari sebuah negara di mana wang kami berada’ untuk membeli vaksin dan “negara ini telah setuju untuk menerima,” kata Rouhani semasa mesyuarat bersama pasukan petugas koronavirus Iran, tanpa menyebut negara yang dimaksudkan.

Pada teori, ubat-ubatan dikecualikan daripada sekatan, tetapi pada hakikatnya, bank antarabangsa cenderung menolak transaksi yang membabitkan Iran untuk mengelak daripada terdedah kepada litigasi.

Pejabat Kawalan Aset Asing Perbendaharaan AS pada mulanya berkata ‘ia tidak mempunyai masalah dengan pemindahan wang sedemikian’, kata beliau.

Namun ‘ia berkata kemudian bahawa wang berkenaan perlu melalui sebuah bank AS sebelum dipindahkan untuk pembelian vaksin, kata Rouhani.

Menteri Kesihatan Saeed Manaki berkata pada awal bulan ini bahawa Iran telah ‘membeli’ kira-kira 16.8 juta dos vaksin ‘menerusi COVAX’, tanpa menyatakan jenis vaksinnya.

Pembelian vaksin ‘mungkin lebih mahal dan tertunda, tetapi ia pastinya akan berlaku,” kata Rouhani semalam. – AFP