Iran gagal lancar satelit Zafar

TEHRAN, 10 FEB – Iran semalam gagal menyempurnakan misinya meletakkan satelit buatan negara itu, Zafar ke orbit, lapor agensi berita Xinhua memetik laporan IRINN TV.

Satelit itu dilancarkan ke angkasa lepas menggunakan pelancar roket juga buatan sendiri Simorgh, namun satelit berkenaan gagal mendapat lonjakan diperlukan untuk memasuki orbit yang ditetapkan, kata jurucakap projek angkasa lepas Kementerian Pertahanan Iran, Ahmad Hosseini.

Pelancar roket itu menempatkan Zafar pada ketinggian 540 kilometer, tetapi proses berkenaan tidak dapat disempurnakan, katanya.

Menurutnya, pakar angkasa lepas Iran akan menganalisis dan mengkaji data yang diperoleh bagi menangani masalah dan melakukan persiapan melancarkan semula satelit berkenaan.

Iran melancarkan satelit itu pada pukul 7:15 malam di Pusat Angkasa Lepas Imam Khomeini, di wilayah Semnan, kira-kira 230 kilometer ke tenggara Tehran, ibu negara Iran. Ia sempena sambutan ulang tahun ke-41 Revolusi Iran 1979.

Gambar yang diambil daripada video menunjukkan roket Iran yang membawa satelit dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Imam Khomeini di wilayah Semnan, Iran pada 9 Februari 2020. – AP

Satelit Zafar dibangunkan untuk mengelilingi orbit pada ketinggian 90 kilometer menggunakan kawalan jauh dilengkapi kamera warna bagi membantu penerokaan minyak, mengesan periuk api, pemetaan hutan dan mencerap bencana alam.

Pada Ogos 2019, sebuah roket Iran meletup di Pusat Angkasa Lepas Imam Khomeini sebelum ia dilancarkan.

Iran menghantar kapsul bio pertama mengandungi makhluk hidup ke angkasa lepas pada Februari 2010 menggunakan pelancar roket Kavoshgar-3. Satelit pertama buatan Iran, Omid dilancarkan pada 2009.

Washington mengkritik cita-cita angkasa lepas Tehran dan menuduh teknologi yang diperoleh akan membantu memajukan lagi program peluru berpandu negara Teluk itu.

Tehran menafikan tuduhan itu dan menyatakan program angkasa lepasnya bertujuan untuk kesejahteraan penduduk awam serta demi keamanan. – Bernama