Iran gagalkan serangan sabotaj terhadap bangunan nuklear

TEHRAN, 23 JUN – Iran menggagalkan serangan sabotaj ke atas sebuah bangunan milik agensi tenaga nuklear negara hari ini, kata televisyen negeri, menambah tidak adanya laporan kecederaan atau kerosakan.

“Pada pagi ini, satu operasi sabotaj ke atas salah sebuah bangunan Pertubuhan Tenaga Nuklear Iran berjaya digagalkan, dan serangan tidak mengakibatkan sebarang kerosakan dari segi kewangan atau kehilangan nyawa,” kata penyiar.

“Pensabotaj gagal melaksanakan rancangan mereka,” tambahnya, tanpa memberi butiran lanjut mengenai bangunan atau ciri-ciri serangan yang berjaya dipintas. Insiden itu berlaku ketika Tehran dan kuasa dunia berusaha memulihkan perjanjian 2015 mengenai program nuklear Iran dalam rundingan Vienna.

Perjanjian itu ditentang oleh musuh Israel, yang dituduh Iran berada di sebalik ‘letupan kecil’ yang melanda loji penggayaan uranium Natanz pada April. – AFP