TEHRAN, 20 Sept – Seorang lelaki digantung di khalayak ramai di Iran hari ini selepas dipersalahkan atas tuduhan merogol dan membunuh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang menimbulkan kemarahan negara itu.
Pelaksanaan hukuman Esmail Jafarzadeh, 42 ditunjukkan dalam satu video amatur yang dikongsikan di laman web penyiar kerajaan.
Dia digantung pada waktu subuh di dataran bandar kecil Parsabad, wilayah Ardebil.
Hukuman itu dijalankan di kawasan awam “untuk mengembalikan rasa keamanan terhadap penduduk dan melegakan minda mereka,” pendakwa raya Ardebil, Naser Atabati memberitahu para wartawan.
Mangsa, Atena Aslani hilang pada 19 Jun selepas berkeliaran jauh dari ayahnya, mencetuskan kebimbangan besar pada media sosial.
Pendakwa raya berkata bahawa Jafarzadeh yang sudah pun menjadi suspek utama, mengaku merogol dan membunuh sejurus selepas mayatnya ditemui oleh pihak polis di garaj rumahnya, lapor laman web Mizan Online.
Presiden Hassan Rouhani menggambarkan kes itu sebagai ‘mengerikan’ dan meminta bagi keadilan setimpal.
Ia mengambil masa kurang daripada seminggu untuk menyabitkan Jafarzadeh selepas perbicaraannya bermula pada lewat bulan Ogos. Hukuman matinya disahkan oleh mahkamah agung pada 11 September.
Pendakwa raya awam Parsabad, Abdollah Tabatabayi kemudian mengumumkan bahawa Jafarzadeh juga mengaku melakukan pembunuhan dua tahun lalu ke atas seorang wanita yang mayatnya tidak pernah ditemui.
Iran tidak menyediakan angka rasmi hukuman bunuh, namun kumpulan hak asasi manusia Amnesti International berkata ia dalam kalangan lima negara teratas dunia yang menjalankan hukuman bunuh tahun lepas, dengan kebanyakan hukuman gantung sampai mati berkaitan dengan penyeludupan dadah. – AFP