Iran gesa AS perlu dipertanggungjawabkan atas sekatan ‘kejam’

TEHRAN, 23 APRIL – Iran menggesa Amerika Syarikat untuk bertanggungjawab atas sekatan ‘kejamnya’ yang menghambat usahanya untuk membasmi wabak koronavirus yang dikatakannya telah mengorbankan lebih 90 jiwa hari ini.

Republik Islam itu telah bergelut untuk membendung virus yang menyebabkan penyakit COVID-19 sejak mendedahkan kes pertamanya lebih dua bulan lalu.

Ia menuduh musuh ketatnya AS menjadikan krisis itu lebih teruk menerusi sekatan yang dikenakan secara sebelah pihak sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018.

Kematian terbaharu itu diberikan oleh kementerian kesihatan dalam tempoh 24 jam yang membawa keseluruhan kematian di Iran akibat koronavirus kepada 5,481.

“Hari ini, koronavirus bukan hanya menular di Iran namun hampir seluruh negara, dan ia memerlukan usaha serius dan tindakan bersama untuk menanganinya,” kata timbalan menteri luar negeri Iran, Abbas Araghchi.

“Di samping memerangi virus itu, Iran turut berdepan sekatan haram dan tidak berperikemanusiaan Amerika, menambah lagi tekanan ke atas penduduk Iran,” katanya dipetik sebagai berkata dalam kenyataan kementerian.

“Ia adalah hak rakyat Iran untuk memiliki akses kepada sumber kewangan mereka bagi membasmi penyakit dan menangani akibat ekonominya,” kata Araghchi.

“Kekejaman sekatan dan sebelah pihak Amerika Syarikat ke atas Iran membentuk pencabulan jelas Resolusi Majlis Keselamatan 2231, dan AS perlu dipertanggungjawabkan oleh komuniti antarabangsa,” tambahnya. – AFP