Iran hormati hero remaja maut selepas selamatkan wanita

TEHRAN, 26 SEPT – Iran memberi penghormatan kelmarin atas kematian seorang remaja yang meninggal dunia kerana melecur teruk selepas menyelamatkan dua jirannya yang terperangkap dalam kediaman mereka yang terbakar.

Ali Landi, 15, meninggal dunia semalam selepas dua minggu bertarung nyawa.

Media Iran melaporkan, Ali membantu kedua-dua wanita berkenaan menyelamatkan diri dan cuba mencampak silinder gas ke luar tingkap bagi menghalang api daripada terus marak.

Remaja berkenaan meninggal dunia kerana melecur 90 peratus, kata jurucakap hospital Emam Kazem di Isfahan di mana dia dipindahkan dari kampung halamannya di Izeh.

Dua jiran yang diselamatkan adalah wanita berusia 80an dan anak perempuannya, hanya mengalami luka luaran dalam kejadian yang berlaku 9 September lalu.

Warga Iran mengagumi keberanian remaja berkenaan dan menggesa kementerian pendidikan memasukkan kisah Ali dalam bahan pembelajaran di sekolah.

Hari ini, gambar Ali yang sedang tersenyum menghiasi muka depan hampir kesemua akhbar utama Iran. – AFP

Penduduk Iran memberi penghormatan kepada Ali Landi yang meninggal dunia akibat melecur teruk selepas menyelamatkan dua jirannya yang terperangkap dalam kebakaran di Izeh pada 25 September. – AFP