Iran laksana sekatan perjalanan

TEHRAN, 26 MAC – Iran hari ini mengumumkan 157 kematian baharu akibat koronavirus, menambah jumlah kematian rasmi kepada 2,234, tatkala ia mengenakan pengharaman ke atas perjalanan antara bandar untuk mengawal penularan.

Jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour juga berkata 2,389 kes baharu telah disahkan dalam tempoh 24 jam lalu, membawa jumlah jangkitan yang diisytiharkan di salah sebuah negara yang paling teruk terjejas di dunia kepada 29,406.

“Naib baik, sehingga hari ini 10,457 daripada mereka yang dijangkiti telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” beritahunya pada sidang media.

Jahanpour berkata penularan koronavirus baharu dan kadar jangkitan sedang ‘meningkat pesat’ di Iran.

Republik Islam itu mengenakan langkah pembendungan baharu yang ketat hari ini, selepas rayuan awam gagal menghalang ratusan ribu warga Iran berkunjung untuk melawat keluarga ketika cuti Tahun Baharu baru-baru ini.

“Mereka yang merancang mengadakan perjalanan, batalkannya mulai sekarang,” kata Hossein Zolfaghari, pegawai kanan di jawatankuasa anti-koronavirus di Iran.

“Mereka yang sedang mengadakan perjalanan harus pulang dengan segera,” tambah beliau dalam pengumuman di televisyen semasa mengumumkan butir-butir langkah baharu itu.

Zolfaghari berkata penduduk bukan pemastautin tidak dibenarkan masuk ke bandar berdasarkan plat kereta dan kad pemandu mereka, dan mereka yang melanggar arahan akan didenda dan kereta mereka dirampas.

“Semua perhimpunan rasmi dan bukan rasmi juga diharamkan,” kata pegawai, tanpa mengulas lanjut.

Presiden Hassan Rouhani berkata dalam mesyuarat kabinet beliau berharap ‘langkah yang lebih ketat’ itu dapat membantu mengawal virus. – AFP