Iran lancar latihan tentera sebelum rundingan nuklear

TEHRAN, 7 NOV – Tentera Iran memulakan latihan tahunan di kawasan pesisir Teluk Oman, menurut laporan televisyen negara hari ini, kurang sebulan sebelum rundingan nuklear bersama Barat.

Laporan berkata pasukan tentera laut dan udara serta darat menyertai latihan yang merangkumi kawasan lebih satu juta kilometer persegi di Selat Hormuz.

Hampir 20 peratus kapal yang membawa minyak melintasi Teluk Oman dan Lautan Hindi.

Latihan diadakan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) selepas penarikan AS oleh bekas Presiden Donald Trump dari perjanjian nuklear Iran 2015 bersama kuasa dunia.

Siaran televisyen negara berkata latihan tahunan melibatkan jet pejuang, helikopter, pesawat pengangkutan tentera, kapal selam dan dron. Masih kurang pasti berapa lama latihan akan berlangsung.

Tentera Iran yang mengambil bahagian dalam latihan di pesisir Teluk Oman. Iran mengadakan latihan ketenteraan menjelang rundingan semula perjanjian nuklear hujung bulan ini di Vienna.- AP

Pegawai AS minggu lalu berkata Iran telah merampas kapal minyak yang mengibarkan bendera Vietnam di Teluk Oman bulan lalu dan menahan kapal berkenaan di pelabuhan mereka.

Program nuklear yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), menjanjikan inisiatif ekonomi Iran sebagai balasan mengehadkan program nuklearnya dan bertujuan menghalang Tehran daripada membangunkan bom nuklear.

Selepas tindakan AS menarik diri dari perjanjian pada 2018 dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran, negara tersebut secara perlahan-lahan membangunkan semula program nuklearnya.

Iran berkata simpanan stok 20 peratus pengayaan uranium negaranya telah mencecah lebih 210 kilogram, tindakan terbaharu sebelum rundingan nuklear dengan Barat.

Di bawah perjanjian nuklear, Iran dilarang daripada mengayakan uranium melebihi 3.67 peratus. Pengayaan uranium melebih 90 peratus mampu menghasilkan senjata nuklear, meskipun Tehran menegaskan program nuklearnya adalah untuk keamanan.

Selepas penundaan berbulan-bulan, Kesatuan Eropah, Iran dan AS mengumumkan minggu lalu bahawa rundingan tidak langsung untuk menghidupkan semula perjanjian akan disambung pada 29 November di Vienna.- AP