Iran lapor 154 lagi kematian

TEHRAN, 3 JULAI – Iran hari ini melaporkan 154 lagi kematian akibat wabak koronavirus, dengan kematian meningkat lagi beberapa hari selepas mencapai rekod kematian tertinggi.

Jurucakap kementerian kesihatan Sima Sadat Lari mengatakan dalam temu bual di televisyen bahawa kematian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kepada 11,260. Dia menambah bahawa seramai 2,566 penduduk telah diuji positif untuk virus tersebut, menjadikan kes jangkitan sejak wabak itu muncul pada bulan Februari kepada 235,429.

Kematian menurun sedikit selepas mencecah jumlah tertinggi dalam tempoh 24 jam iaitu 162 orang pada Isnin tetapi kembali mengalami peningkatan dalam dua hari terakhir. Peningkatan semula dalam kadar jangkitan di negara ini menyaksikan beberapa wilayah yang sebelumnya tidak berpotensi telah diklasifikasikan sebagai ‘merah’ – tahap tertinggi pada skala risiko kod warna Iran – dengan pihak berkuasa dibenarkan untuk menerapkan semula langkah-langkah penjarakan sosial jika diperlukan.

Wilayah tersebut termasuk Bushehr, Hormozgan, Ilam, Kermanshah, Khuzestan, Khorasan Razavi, dan Kurdistan, semuanya terletak di sepanjang sempadan Iran.

Kadar peningkatan ini juga telah mendorong kerajaan untuk mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di tempat awam mulai hari Ahad, dengan beberapa pegawai dan penyiar televisyen negara memakai penutup mulut dan hidung di hadapan kamera sebagai sebahagian daripada kempen untuk menggalakkan orang ramai untuk terus menggunakannya. – AFP

Penduduk tempatan memakai penutup mulut dan hidung ketika berjalan di ibu negara Tehran pada 1 Julai. Iran melaporkan 154 lagi kematian akibat wabak koronavirus, dengan kematian meningkat lagi beberapa hari selepas mencapai rekod kematian tertinggi. – AFP