Iran lapor lebih 100 korban baharu

TEHRAN, 21 JUN – Pihak berkuasa kesihatan Iran melaporkan lebih 100 kematian baharu akibat koronavirus hari ini buat hari ketiga berturut-turut, menekankan wabak itu belum memuncak di negara yang teruk dilanda itu.

Iran melaporkan kes koronavirus pertama pada 19 Februari dan sejak itu bergelut untuk membendung penularan, yang paling maut di Timur Tengah.

Republik Islam itu merekodkan jumlah kematian tunggal paling rendah pada awal mei, sebelum menyaksikan pertambahan baharu dalam kes bebe-rapa minggu kebelakangan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Sima Sadat Lari berkata 116 kematian dilaporkan hari ini dan telah membawa kepada jumlah keseluruhan COVID-19 kepada 9,623.

Menteri Kesihatan Said Namaki bagaimanapun menafikan negara itu berdepan gelombang kedua penyakit pernafasan dan berkata ‘kemuncak penyakit itu belum lagi teruk.”

“Walaupun di wilayah-wilayah di mana kami rasa gelombang koronavirus pertama di belakang kami, kami belum lagi mengalami sepenuhnya gelombang pertama,” katanya dipetik sebagai berkata oleh agensi berita separa rasmi, ISNA.

Pihak berkuasa Iran belum lagi mengenakan perintah sekatan pergerakan mandatori ke atas penduduk namun menutup sekolah, membatalkan acara awam dan menegah pergerakan antara 31 wilayah di negara itu pada Mac, sebelum beransur-ansur melonggarkan sekatan bermula April.

Menurut Lari, empat wilayah – Khuzestan, Hormozgan, Kermanshah dan Timur Azerbaijan – pada masa ini kod ‘merah’, tahap tertinggi dalam skala risiko kod berwarna di negara itu.

Tambahnya lagi, 2,368 jangkitan baharu telah disahkan, membawa kepada 204,952 jumlah kes keseluruhan di negara itu. – AFP