Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran mohon bantuan IMF tangani COVID-19

    TEHRAN, 13 MAC – Iran memohon pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), iaitu yang pertama dalam tempoh berdekad-dekad, bagi memerangi wabak COVID-19 yang telah meragut 429 nyawa dan menjangkiti lebih 10,000 orang di negara ini.

    Menteri Luar, Mohammad Javad Zarif, ketika mengumumkan perkara itu melalui Twitter, semalam, meminta IMF supaya melakukan perkara yang betul.

    Dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Mohammad Javad turut menggesa sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran ditamatkan.

    Beliau menegaskan, sekatan AS itu menjejaskan usaha memerangi COVID-19 di Iran.

    Sekiranya Iran memperoleh pinjaman daripada IMF yang mana AS mempunyai pengaruh veto dalam penentuan keputusan, ia akan merupakan yang pertama sejak awal 1960an.

    Berita permohonan pinjaman terbabit menyusul selepas Iran melaporkan 75 lagi kematian akibat COVID-19, iaitu angka harian tertinggi sejak negara ini mengumumkan korban pertama pada bulan lalu.

    Iran ialah antara negara paling terkesan dengan pandemik COVID-19 di luar China di mana virus berkenaan tercetus.

    Dalam rayuannya untuk pinjaman IMF, Mohammad Javad memetik satu kenyataan bersama IMF dan Bank Dunia bertarikh 2 Mac lalu bahawa mereka akan: ‘menggunakan instrumen yang kami ada hingga ke tahap sepenuh mungkin, termasuk pembiayaan kecemasan’, bagi membantu negara-negara memerangi virus itu.

    “Bank pusat kami memohon akses kepada kemudahan ini dengan segera,” ciap diplomat utama Iran itu.

    Mohammad Javad berkata, IMF dan lembaganya ‘harus mematuhi mandat dana, melakukan perkara yang betul dan bertindak secara bertanggungjawab.’

    Iran telah menutup sekolah-sekolah dan universiti serta menutup hotel-hotel dan penginapan pelancong lain untuk tidak menggalakan perjalanan ketika wabak COVID-19 ini semakin menular berleluasa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda