Iran mohon pinjaman AS$50 juta

TEHRAN, 20 APRIL – Iran memohon pinjaman berjumlah AS$50 juta dari Bank Dunia untuk membiayai usaha negara itu melawan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua memetik Financial Tribune hari ini.

“Perkara asas sudah siap dan permohonan pinjaman sedang diproses membabitkan agensi berkaitan seperti bank pusat (Iran),” kata Timbalan Menteri Kesihatan Kamel Taqavinejad.

Ini kali pertama sejak 2005, Iran memohon pinjaman dari Bank Dunia, kata Taqavinejad.

Menurutnya, Iran juga memohon pinjaman €130 juta (AS$141 juta) dari Bank Pembangunan Islam untuk membeli peralatan perubatan.

Pada 12 Mac, Bank Pusat Iran mengumumkan telah memohon pinjaman dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah AS$5 bilion. – Bernama