Iran mula buka semula beberapa sekatan

TEHRAN, IRAN, 12 APRIL – Iran mula membuka semula pejabat kerajaan kelmarin selepas mengenakan perintah berkurung di seluruh negara untuk menangani penularan wabak koronavirus terburuk di Timur Tengah, yang telah mengorbankan lebih daripada 4,300 orang di negara ini.

Pihak berkuasa telah memerintahkan kebanyakan agensi kerajaan dan semua perniagaan yang tidak penting untuk ditutup selama seminggu setelah percutian Nowruz berakhir pada 4 April.

Sementara itu di Mesir, polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan sekumpulan penduduk kampung yang cuba menghentikan pengebumian seorang doktor yang meninggal dunia akibat penyakit COVID-19 yang disebabkan oleh virus itu. Penduduk kampung bimbang bahawa pengebumian itu akan menyebarkan penularan.

Pejabat kerajaan di luar ibu negara Iran, Tehran, dibuka semula kelmarin dengan satu pertiga daripada semua pekerja bekerja dari rumah, media negara itu melaporkan, di mana wanita yang mempunyai anak kecil diberi keutamaan untuk bekerja dari rumah. Beberapa premis perniagaan di luar ibu negara juga dibenarkan untuk dibuka semula kelmarin.

Perniagaan di Tehran akan dibenarkan dibuka semula Sabtu depan, dengan syarat mereka perlu berdaftar dengan pihak berkuasa dan mengikuti garis panduan mengenai jarak sosial yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Pejabat kerajaan di ibu negara juga akan dibuka semula dengan dua pertiga pekerja akan mula bekerja.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan 125 lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 4,357. Iran telah melaporkan lebih daripada 70,000 kes positif, dan pihak berkuasa mengatakan lebih daripada 40,000 telah sembuh. – AP

Beberapa penduduk Iran dengan memakai penutup wajah dilihat berada di kedai elektrik di Mashhad pada 11 April. – AFP