Iran, Rusia bina reaktor tenaga nuklear kedua

BUSHEHR, IRAN, 11 NOV – Tehran dan Moscow semalam merasmikan fasa baharu pembinaan reaktor kedua di satu-satunya loji tenaga nuklear Iran di Bushehr di pantai Teluk.

Ali Akbar Salehi, ketua Pertubuhan Tenaga Nuklear Iran (AEOI), dan penolong ketua agensi nuklear Rusia Rosatom, Alexander Lokshin, melancarkan fasa baharu pada satu upacara di mana konkrit dicurah untuk tapak reaktor.

Reaktor itu adalah satu daripada dua yang dibina sejak 2017 di tapak Bushehr yang terletak kira-kira 750 kilometer dari selatan Tehran.

Perjanjian nuklear 2015 yang ditandatangani oleh Iran dengan enam kuasa besar, termasuk Rusia, mengenakan sekatan ke atas reaktor nuklear yang mungkin dibina oleh Tehran dan pengeluaran bahan api nuklear tetapi ia tidak mewajibkan Iran untuk menghentikan penggunaan tenaga nuklearnya untuk penghasilan elektrik.

“Dalam wawasan jangka panjang sehingga 2027-2028, apabila projek berkenaan telah selesai, kami akan mempunyai 3,000 megawat elektrik yang dihasilkan oleh loji nuklear,” kata Salehi pada upacara itu.

Republik Islam itu telah berusaha untuk mengurangkan kebergantungannya pada minyak dan gas menerusi pembangunan kemudahan tenaga nuklear.

Rusia membina 1,000 megawat reaktor di Bushehr yang beroperasi pada September 2011 dan dijangka memulakan pembinaan reaktor ketiga pada masa depan, menurut AEOI.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian 2015, Moscow membekalkan Tehran dengan bahan api yang diperlunya untuk reaktor nuklear penghasilan elektrik.

Bertujuan menjamin program nuklear Iran tidak akan digunakan untuk tujuan tentera, kesahan perjanjian telah terancam sejak Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian pada Mei 2018, dan mengenakan semula sekatan ketat. – AFP

Gambar bertarikh 10 November menunjukkan pekerja di tapak pembinaan reaktor kedua di loji tenaga nuklear Bushehr, Iran, ketika upacara untuk melancarkan kerja-kerja di loji berkenaan. – AFP