Iran sedia sambung rundingan nuklear

TEHRAN, 17 OKT – Iran akan menyambung semula rundingan nuklear bersama kuasa dunia pada 21 Oktober ini, yang digantung pada Jun, beritahu penggubal undang-undang Iran hari ini selepas pertemuan dengan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahain.

Menteri berkata ‘rundingan dengan Kumpulan 4+1 akan disambung semula pada Khamis di Brussels’, beritahu Ahmad Alirezabeigui kepada agensi berita Fars selepas sesi tertutup bersama Amir-Abdollahian.

Penggubal undang-undang merujuk kepada empat anggota tetap Majlis Keselamatan EU iaitu Britain, China, Perancis dan Rusia, bersama dengan Jerman.

Iran dan lima negara tersebut memulakan perbincangan di Vienna pada April bersama EU yang turut hadir sementara Amerika Syarikat (AS) mengambil bahagian dalam rundingan secara tidak langsung.

AS, China, Rusia, Jerman, Perancis dan Britain memeterai perjanjian di Vienna bersama Iran mengenai program nuklearnya pada 2015.

Namun, AS yang ketika itu ditadbir oleh Donald Trump menarik diri daripada perjanjian pada 2018 dan mengenakan semula sekatan ketat. Sejak itu, Tehran, yang menegaskan program nuklearnya adalah untuk kegunaan awam, berundur dari kebanyakan komitmennya di dalam perjanjian tersebut.

Pengganti Trump, Joe Biden berkata dia sudah bersedia untuk kembali mengadakan perjanjian sekiranya Iran mematuhi semula komitmen nuklearnya. Rundingan di Vienna bertujuan untuk menghidupkan semula perjanjian yang digantung pada Jun, apabila Iran melantik Ebrahim Raisi sebagai presiden.

Ketua diplomat EU, Josep Borrell berkata pada Jumaat dia ‘bersedia’ bertemu pemimpin Iran di Brussels sebagai sebahagian daripada rundingan yang terbantut. Seorang lagi penggubal undang-undang Iran, Behrouz Mohebbi Najmabadi, berkata melalui Twitter hari ini bahawa rundingan akan disambung semula ‘minggu ini’. – AFP