TEHRAN, 19 April – Badan kehakiman Iran telah menyekat panggilan suara dalam Telegram yang baru diperkenalkan, iaitu aplikasi mesej popular di negara itu, lapor media kerajaan hari ini.
Sekatan itu disusuli dengan penangkapan bulan lalu ke atas 12 orang yang menjalankan rangkaian reformis popular dalam Telegram, menjelang pilihan raya presiden bulan lalu.
Ia masih tidak jelas jika sekatan panggilan suara, yang Telegram perkenalkan ke seluruh dunia minggu lepas, adalah politik atau direka untuk melindungi kepentingan komersial syarikat-syarikat telefon domestik.
“Kami memberi kebenaran bagi penubuhan perkhidmatan panggilan suara Telegram pada Jumaat….namun ia telah disekat oleh satu arahan badan kehakiman,” kata Menteri Telekomunikasi, Mahmoud Vaezi kepada akhbar reformis Shargh.
“Anda perlu bertanya badan kehakiman bagi sebab berkenaan.”
Bulan lalu, badan kehakiman yang didominasi konservatif telah menyekat aplikasi navigasi online, Waze, kerana ia direka di Israel, yang Iran tidak iktiraf.
CEO Telegram, Pavel Durov telah mengesahkan mengenai penyekatan panggilan suara itu.
“Di Iran, di mana Telegram memiliki kira-kira 40 juta pengguna aktif, panggilan suara Telegram telah sepenuhnya disekat oleh pembekal Internet dan operator mudah alih negara berikutan arahan daripada badan kehakiman,” tulisnya dalam rangkaian rasminya. – AFP