Iran: ‘Sentiasa alu-alukan’ rundingan bersama Arab Saudi

TEHRAN, 19 APRIL – Iran berkata hari ini ia ‘sentiasa mengalu-alukan’ rundingan dengan pesaing serantau Arab Saudi, tanpa mengesahkan atau menafikan laporan media yang kedua-duanya mengadakan rundingan langsung awal bulan ini.

Tehran dan Riyadh sering berselisih dalam konflik serantau dari Syria hingga Yaman dan mempunyai hubungan tegang sejak kerajaan beraja itu memutuskan hubungan diplomatik dengan republik Islam pada tahun 2016.

Financial Times berkata kelmarin yang para pegawai kanan Iran dan Saudi telah mengadakan rundingan di Baghdad pada 9 April untuk memulihkan hubungan dan dijangka mengadakan rundingan tidak lama lagi, memetik sumber tidak bernama.

“Kami juga telah melihat laporan media yang disiarkan,” kata jurucakap kementerian luar negeri Iran, Saeed Khatibzadeh memberitahu para wartawan hari ini.

“Sudah tentu, pelbagai andaian disiarkan dalam laporan yang sering bercanggah itu,” tambahnya, mengatakan Iran tidak akan memberi komen pada ‘laporan media bertentangan’.

Menurut FT, rundingan termasuk mengenai pemberontak Huthi Yaman dan ‘sangat positif’.

“Apa yang penting adalah Iran sentiasa mengalu-alukan rundingan dengan kerajaan Saudi dan menganggapnya sebagai mendatangkan manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan keamanan serta kestabilan serantau,” kata Khatizbadeh.

Tambahnya lagi, ‘usaha itu akan masih diteruskan’ tanpa menghuraikan lebih lanjut. – AFP

Lelaki Iran berjalan di Bandar Tehran pada 12 April. – AFP