TEHRAN, 7 OKT – Iran telah menahan selebriti Instagram kerana mengubah penampilannya secara drastik melalui pembedahan kosmetik, lapor agensi berita Tasnim.
Bintang media sosial yang dikenali sebagai Sahar Tabar (gambar dari Instagram) ditahan atas arahan mahkamah di Tehran berkaitan kesalahan ‘jenayah budaya, kerosakan akhlak dan moral’, menurut Tasnim lewat Sabtu.
Dia berdepan tuduhan termasuk kufur, mencetuskan keganasan, menjana pendapatan melalui cara yang tidak sesuai dan menggalakkan kerosakan akhlak dalam golongan muda, tambah agensi berita itu.
Tabar menjadi terkenal di Instagram tahun lalu selepas memuat naik imej-imej wajahnya yang diubah melalui bedah plastik.
Kebanyakan gambar dan video dikongsi bersama 26,800 pengikutnya juga disunting sehingga membuatkan wajahnya kelihatan seperti aktres terkenal Hollywood, Angelina Jolie Akaun itu bercirikan imej-imejnya dengan wajah cengkung, bibir muncung dan hidung mancung.
Dalam beberapa gambar lain, dia dilihat memakai tudung labuh menutupi rambutnya dan pembebat putih di hidungnya yang biasa dilihat di jalan-jalan raya Tehran. – AFP

































