Iran tangkap lapan ‘berkaitan CIA’

TEHRAN, 29 NOV – Iran telah menangkap lapan orang yang dituduh berkaitan dengan CIA dan mengumpul maklumat untuk dihantar ke luar negara semasa keganasan maut di jalanan yang meletus selepas harga minyak naik mencetuskan bantahan.

Ketiadaan Internet hampir keseluruhannya telah dikenakan oleh republik Islam pada 16 November, pada hari selepas ia membuat pengumuman mengejutkan yang harga petrol akan naik sekitar 200 peratus.

Laporan kematian dan penangkapan muncul ketika pasukan keselamatan dikerahkan untuk mengawal bantahan yang bertukar ganas di beberapa kawasan dengan puluhan bank, pam petrol dan balai polis dibakar.

Kumpulan pemerhati hak asasi kemanusiaan yang berpangkalan di New York kelmarin menuduh Tehran ‘sengaja merahsiakan’ lebih 100 kematian dan ribuan penangkapan semasa tindakan keras tersebut.

Para pegawai di Iran telah mengesahkan lima orang terbunuh dan sejauh ini mengumumkan kira-kira 500 tangkapan, termasuk kira-kira 180 ‘ketua geng’.

Namun Amnesty International berkata pada Isnin bahawa kira-kira 143 penunjuk perasaan telah dibunuh sejak 15 November semasa tindakan keras itu.

Yang terkini ditahan di Iran adalah lapan orang ‘berkaitan dengan CIA semasa rusuhan baru-baru ini’, kata agensi berita kerajaan, IRNA lewat kelmarin.

“Beberapa elemen cuba untuk mengumpul maklumat tentang rusuhan terbaharu dan menghantarnya ke luar negara….telah dikenal pasti dan ditangkap,” ia memetik ketua pengarah jabatan tindakan cegah intipan Kementerian Perisikan sebagai berkata.

Enam daripadanya dipercayai telah ‘menghadiri rusuhan dan menjalankan arahan,” lapor IRNA, tanpa menamakan pegawai berkenaan.

Dua yang lain dituduh cuba untuk mengumpul maklumat dan memindahkannya ke negara luar telah ditangkap sebelum mereka meninggalkan negara itu, kata agensi berita.

Mereka semua telah ‘dilatih di pelbagai negara tentang bagaimana untuk mengumpul maklumat…sebagai jurnalis-awam,” tambahnya. – AFP