Iran tangkis serangan siber kali kedua

TEHRAN, 15 DIS – Menteri telekomunikasi Iran mengumumkan hari ini bahawa negara tersebut telah menangkis serangan siber kedua dalam masa kurang dari seminggu, kali ini ‘bertujuan mengintip perisikan kerajaan.’

Mohammad Javad Azari Jahromi berkata dalam pos Twitternya bahawa serangan tersebut sudah ‘dikenal pasti dan dipatahkan oleh pihak keselamatan siber,’ dan ‘server pengintipan sudah dikenal pasti dan penggodam juga dijejaki.’ Beliau tidak mengulas lanjut. Rabu lalu, Jahromi memberitahu agensi berita rasmi IRNA serangan siber yang tbesar dan bersifat kerajaan juga menyasarkan infrastruktur elektronik Iran. Beliau tidak memberikan sebarang maklumat khusus tentang serangan tersebut kecuali berkata serangan telah ditangkis dan satu laporan akan dikeluarkan.

Pada Selasa, menteri berkenaan telah menolak laporan mengenai penggodaman operasi yang menyasarkan bank Iran, termasuklah laporan media tempatan bahawa berjuta-juta akaun pelanggan bank Iran digodam.

Ini bukan kali pertama Iran mengatakan ia menggagalkan serangan siber, walaupun ia telahmemutuskan kebanyakan infrastrukturnya daripada Internet selepas virus komputer ‘Stuxnet’, dipercayai merupakan ciptaan bersama antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel, mengganggu beribu-ribu alat emper Iran di tapak nuklear negara pada akhir tahun 2000-an.

Pada bulan Jun yang lalu, pegawai Washington berkata pasukan siber tentera AS melancarkan serangan ke atas sistem komputer ketenteraan Iran ketika Presiden Donald Trump menarik diri daripada rancangan serangan tentera yang lebih konvensional dalam tindak balas terhadap Iran selepas menembak jatuh dron AS di teluk Parsi.

Ketegangan telah meningkat antara AS dan Iran semenjak pengunduran Presiden Donald Trump tahun lepas dari perjanjian nuklear pada tahun 2015 bersama Tehran dan memulakan dasar ‘tekanan maksimum.’ Iran telah dikenakan pelbagai sekatan sejak itu. – AP