Iran tembak jatuh dron

TEHRAN, 8 NOV – Tentera Iran menembak jatuh dron yang tidak dikenal pasti berhampiran pelabuhan Bandar-e Mahshahr di pantai Teluk hari ini, lapor agensi berita Iran ISNA.

Pesawat udara itu ditembak jatuh di wilayah Iran dengan peluru berpandu Mersad, kata agensi berita Tasnim yang rapat dengan golongan ultra-konservatif.

Kedua-dua agensi berita tidak memberikan butir lanjut tentang kejadian yang berlaku di tengah ketegangan meningkat di antara Tehran dan Washington sejak Presiden Donald Trump mening-galkan perjanjian nuklear 2015 pada tahun lalu dan mengenakan semula sekatan.

Trump pada Jun membenarkan satu serangan tentera selepas Iran menembak jatuh satu dron AS, hanya membatalkan serangan balas pada saat-saat terakhir.

Washington menegaskan pesawat udara itu berada di ruang udara antarabangsa, namun Iran berkata ia berada di perairan wilayahnya.

Krisis itu bertambah buruk dengan serangan pada 14 September ke atas loji pemprosesan firma minyak Saudi Aramco Abqaiq dan padang minyak Khurais yang mengurangkan separuh keluaran minyak mentah negara. Pemberontak Yaman Huthi mendakwa bertanggungjawab, namun AS berkata serangan membabitkan peluru berpandu dari Iran dan ia bersamaan dengan ‘tindakan perang.’ – AFP