Iran tentang operasi ketenteraan Syria

TEHRAN, 8 OKT – Diplomat tertinggi Iran Mohammad Javad Zarif memberitahu rakan sejawatan Turki Mevlut Cavusoglu dalam satu panggilan telefon bahawa Tehran menentang tindakan ketenteraan di Syria, kata kementerian luar negeri.

“Zarif menyuarakan tentangan terhadap tindakan ketenteraan” dan “menggesa penghormatan terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara,” Zarif dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Menteri luar Iran juga ‘menekankan keperluan kempen memerangi keganasan dan pewujudan kestabilan dan keselamatan di Syria.’

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata semalam Turki dijangka melancarkan operasi ketenteraan ke atas tentera Kurdish di utara Syria, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberikan beliau lampu hijau.

Keputusan Trump untuk mengeluarkan tentera AS dari rantau telah menerima kritikan di AS, termasuk daripada sekutunya sendiri yang telah menuduh beliau berpaling tadah ke atas Kurd yang menanggung kerugian teruk dalam kempen AS menentang kumpulan Islamic State (IS) di Syria.

Dalam panggilan telefon mereka, Zarif memberitahu Cavusoglu bahawa perjanjian Adana merupakan ‘pendekatan terbaik untuk Syria dan Turki dan untuk mengatasi kebimbangan mereka.’ – AFP

Gambar bertarikh 7 Oktober menunjukkan Tentera Syria Bebas melihat pada peta semasa latihan tentera sebagai persediaan menghadapi serangan Turki berhampiran Azaz, utara Syria. – AP