Iran terharu, puji keputusan UNSC

TEHRAN, 16 OGOS – Iran memuji keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) bagi menolak resolusi Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan tempoh sekatan senjata terhadap negara itu, sambil menyifatkan musuhnya itu semakin ‘terasing’.

Presiden, Hassan Rouhani, berkata AS gagal dalam usahanya itu selepas Presiden AS, Donald Trump, menarik diri daripada Perjanjian Nuklear Iran pada Mei 2018.

Sekatan terhadap senjata konvensional itu dijadualkan berakhir pada 18 Oktober ini di bawah terma resolusi menyetujui Perjanjian Nuklear Iran yang ditandatangani pada Julai 2015 dan dikenali secara rasmi sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Melalui perjanjian yang dirunding oleh bekas Presiden AS, Barack Obama itu, Iran komited untuk mengekang kegiatan nuklearnya bagi pelepasan sekatan dan manfaat lain.

“AS gagal dalam konspirasinya dan dimalukan.

“Hari ini akan dicatat dalam sejarah negara kita dan sejarah dalam memerangi kesombongan global,” kata Rouhani.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi dalam ciapan Twitter pula berkata, sepanjang sejarah 75 tahun PBB, AS tidak pernah diasingkan.

Sementara itu, rakyat Iran mempunyai reaksi bercampur-campur berhubung isu itu.

“Ini permainan AS…satu hari dia bagi resolusi kepada PBB, kemudiannya mereka kata mereka sudah ambil,” kata seorang pekerja di Grand Bazaar yang hanya dikenali sebagai Ahmadi. – AFP

Gambar fail Rouhani semasa bercakap pada satu perhimpunan di Tehran. Rouhani berkata AS gagal dalam usahanya selepas Presiden AS, Donald Trump, menarik diri daripada Perjanjian Nuklear Iran pada Mei 2018. – AFP