Iran tidak pinta perang – Rouhani

TEHRAN, 26 JUN – Presiden Hassan Rouhani berkata Iran ‘tidak meminta perang’ dengan Amerika Syarikat (AS), lapor media negara itu hari di tengah-tengah ketegangan meningkat antara kedua buah negara.

“Iran tidak mempunyai minat untuk meningkatkan tekanan di rantau ini dan ia tidak pernah meminta perang dengan mana-mana negara, termasuk AS,” kata presiden itu, yang dipetik dari agensi berita IRNA.

Rouhani bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatannya di Perancis, Emmanuel Macron, ketika Tehran dan Washington saling berbalas kata setelah Iran menembak jatuh dron AS minggu lepas.

“Kami sentiasa komited bagi keamanan serantau dan kestabilan serta akan berusaha ke arah itu,” kata presiden Iran itu kepada Macron.

Presiden AS, Donald Trump berkata dia menarik diri daripada membuat serangan balas ke atas Iran di saat-saat akhir, menolak dakwaan Tehran bahawa pesawat itu berada di ruang udaranya. Tetapi tekanan meningkat minggu ini dengan Trump mengumumkan sekatan ke atas pemimpin tertinggi Iran itu serta para pegawai tertingginya.

Langkah itu merupakan tindakan baharu ke atas Tehran sejak Trump menarik diri dari perjanjian nuklear antara Iran dan kuasa-kuasa dunia.

Rouhani menyalahkan AS atas ketegangan serantau dan berkata sekiranya Washington kekal dalam perjanjian itu “kami mungkin menyaksikan perkembangan yang positif di rantau ini.” – AFP

Gambar dari laman sesawang rasmi pejabat Presiden Iran menunjukkan Hassan Rouhani bercakap pada satu mesyuarat di Tehran pada 25 Jun 2019. – AP