TEHRAN, 21 NOV – Penggubal undang-undang Iran telah meluluskan undang-undang untuk meningkatkan umur persaraan bagi lelaki kepada 62 tahun dan meningkatkan tahun pekerjaan yang diperlukan untuk mendapat pencen penuh, lapor media kerajaan.
Rang undang-undang yang baharu diluluskan itu masih perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Pengawal yang dikuasai golongan konservatif. Tujuan utama rang undang-undang ini adalah ‘untuk mengurangkan kekurangan dana pencen’, menurut agensi berita rasmi IRNA.
Dalam sesi undian pada Ahad lalu, di parlimen yang terdiri daripada 290 kerusi, sebanyak 127 ahli parlimen menyokong, manakala 78 menentang dan lapan lagi memilih untuk tidak mengundi, sementara yang lainnya tidak hadir.
Mohammad Baqer Qalibaf, Speaker Parlimen, menyatakan kelmarin bahawa pekerja lelaki kini perlu berkhidmat selama 35 tahun, berbanding 30 tahun sebelum ini, sebelum mereka layak untuk bersara dengan pencen penuh, menurut kenyataan IRNA.
Beliau juga berkata bahawa umur persaraan lelaki akan dinaikkan dari 60 kepada 62 tahun, sementara umur persaraan wanita akan kekal pada 55 tahun.
Solat Mortazavi, Menteri Buruh, menjelaskan bahawa langkah ini adalah penting untuk memastikan dana pencen dapat terus memenuhi tanggungjawab kepada penerima manfaatnya.
Beberapa bulan belakangan ini, beberapa pegawai telah mengutarakan kebimbangan berhubung kekurangan serius dalam dana pencen. Pada bulan Mei, Sajjad Padam, pegawai kementerian buruh ketika itu, menyatakan bahawa Iran ‘mungkin terpaksa menjual aset’ untuk membayar pencen. Bagaimanapun, beliau kemudian dipecat selepas kenyataannya mencetus kontroversi.
Iran telah dilanda krisis ekonomi dengan inflasi sekitar 50 peratus dan penyusutan mendadak rial berbanding dolar.
Krisis itu telah diburukkan lagi dengan sekatan Amerika Syarikat yang dikenakan semula pada 2018 berikutan penarikan diri Washington daripada perjanjian nuklear penting antara Tehran dan kuasa besar. – AFP
