TEHRAN, 28 Ogos – Seorang penasihat tentera kanan pemimpin tertinggi Iran berkata kelmarin bahawa pemeriksaan tapak tentera Iran dengan alasan perjanjian nuklear antarabangsa adalah “mustahil,” laporan TV negara.
Perjanjian nuklear yang ditandatangani antara Iran dan enam kuasa utama dunia dua tahun lalu tidak membolehkan pemeriksaan ke atas tapak tentera Iran, kata Ketua Jeneral Hassan Firouzabadi kelmarin. Beliau mengecam komen baru-baru ini yang dibuat oleh Nikki Haley, duta besar Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dalam lawatannya ke ibu pejabat Badan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, sebagai percubaan oleh Washington untuk melemahkan perjanjian nuklear.
Pada hari Jumaat, Haley berkata Iran secara terbuka menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan akses ke tapak tentera. Tetapi perjanjian antarabangsa pada 2015 tidak membezakan antara tapak tentera dan bukan tentera, kata Haley selepas dia kembali dari Vienna. Firouzabadi berkata Haley adalah ejen AS untuk menemui “plot baru dan dia berbohong.”
Pada hari Ahad, jurucakap Kementerian Luar Iran, Bhram qasemi, juga menegaskan pemeriksaan IAEA di Iran akan dilaksanakan hanya dalam rangka dasar negara. Selepas bertahun-tahun ketegangan dengan Barat, Iran melancarkan perjanjian dengan lima kuasa dunia Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat pada bulan Julai 2015. – Xinhua