Iran tuduh Israel sabotaj tapak nuklear

TEHRAN, 12 APRIL – Iran mendakwa hari ini yang musuh ketatnya, Israel adalah dalang di sebalik serangan tapak nuklear utamanya, loji pengayaan uranium Natanz dan berikrar ‘membalas dendam’ serta meningkatkan aktiviti nuklearnya.

Jurucakap kementerian luar negeri Iran Saeed Khatibzadeh melabel insiden letupan kelmarin sebagai tindakan ‘pengganasan’ Israel.

Siri terbaharu insiden yang menjejaskan program nuklear Iran itu muncul beberapa hari selepas rundingan disambung semula untuk menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 Iran.

Iran pada awalnya melaporkan gangguan elektrik telah melanda tapak Natanz kelmarin, sehari selepas ia mengumumkan ia memulakan emparan uranium canggih yang ditegah di bawah perjanjian tersebut.

Israel tidak mendakwa bertanggungjawab atas insiden terbabit namun menurut laporan media tidak rasmi di negara itu menggambarkan ia dengan perkhidmatan keselamatan Israel sedang melancarkan ‘operasi siber’.

Gambar satelit menunjukkan kemudahan nuklear Natanz, Iran pada 7 April. – AP

The New York Times, memetik pegawai perisikan Israel dan AS juga mengatakan adanya ‘peranan Israel’ dalam serangan itu.

Ia melaporkan gegaran besar ‘telah memusnahkan keseluruhan’ sistem tenaga yang membekalkan ‘emparan bawah tanah’ di tapak itu.

“Sudah pasti rejim Zionis itu, dengan tindakan itu, cuba untuk membalas dendam ke atas penduduk Iran atas kesabaran mereka dan sikap bijak berkaitan pembatalan sekatan AS,” kata Khatibzadeh.

Khatibzadesh berikrar yang tindak balas Iran adalah ‘membalas dendam ke atas rejim Zionis’ bila dan di mana akan ditentukan Tehran.

Ketua pertubuhan tenaga atom Iran, Ali Akbar Salehi berkata ‘insiden itu sudah pasti sabotaj’, lapor agensi berita kerajaan, IRNA. – AFP