Iran tuntut jaminan AS

TEHRAN, 8 NOV – Iran hari ini menuntut jaminan Amerika Syarikat bahawa ia tidak akan menarik diri lagi daripada perjanjian nuklear 2015 dan memberi amaran Tehran tidak akan menerima sebarang perjanjian separa.

Washington ‘perlu memberi jaminan bahawa tidak ada kerajaan Amerika lain yang boleh melanggar undang-undang dunia atau antarabangsa dan apa yang berlaku tidak akan berulang,’ kata jurucakap kementerian luar, Said Khatibzadeh pada satu sidang media, merujuk kepada penarikan diri 2018.

Rundingan untuk memulihkan perjanjian nuklear antara Iran dan kuasa-kuasa dunia dijangka disambung di Vienna pada 29 November ini, selepas penggantungan sejak Jun. – AFP