TEHRAN, 6 Ogos – Bank Pusat Iran (CBI) hari ini mendedahkan satu dasar bagi melindungi nilai rial berbanding mata wang asing di negara itu.
Dasar tersebut yang termasuk membatalkan larangan ke atas dagangan mata wang dan aktiviti pasaran pertukaran wang rasmi, di bawah gabenor baharu CBI Abdolnasser Hemati, menurut laporan agensi berita Tasnim.
Hemati berkata dasar itu, yang disokong pentadbiran Presiden Hassan Rouhani, adalah untuk mengawal pasaran mata wang dan membolehkan aktivis ekonomi bergerak secara bebas.
Sementara itu, pentadbiran akan terus menguntukkan subsidi ke atas komoditi dasar dan perubatan bagi menetapkan harga pengguna, kata Hemati.
Mata wang asing dari pengeksportan barangan Iran akan disalurkan kepada pasaran setempat, kata ketua CBI, dengan menambah pasaran bebas akan sendirinya menentukan nilai mata wang.

Membuka semula pasaran pertukaran mata wang asing dan membatalkan larangan terhadap perdagangan mata wang asing turut akan memaksa penurunan harga syiling emas, yang memuncak pada beberapa minggu yang lalu, katanya.
Pasaran mata wang Iran mengalami pergolakan baru-baru ini tatkala ia berdepan peningkatan nilai mata wang asing yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Mata wang Iran jatuh kepada satu rekod paling rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, di mana rial kehilangan separuh nilainya dalam hanya beberapa bulan.
Nilai mata wang asing mula meningkat di Iran selepas pengunduran AS dari perjanjian nuklear Iran pada Mei dan mengumumkan rancangan bagi gelombang sekatan baharu ke atas negara itu.
Desakan semakin bertambah di kalangan orang ramai bagi mata wang asing atau syiling emas berikutan ketakutan terhadap kejatuhan yang lebih teruk ke atas nilai aset mereka. – Xinhua