Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Iraq dilanda ribut pasir lagi

    BAGHDAD, 16 MEI – Satu lagi ribut pasir melanda Iraq pada hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 2,000 orang dimasukkan ke hospital dengan masalah pernafasan dan mendorong penutupan lapangan terbang, sekolah serta pejabat kerajaan di seluruh negara.

    Ia merupakan ribut pasir kelapan sejak pertengahan April yang melanda Iraq, yang telah bergelut dengan masalah hakisan tanah, kemarau melampau dan turunan hujan yang rendah dikaitkan dengan perubahan iklim.

    Ribut pasir yang melanda pada awal bulan ini mengakibatkan satu kematian sementara 5,000 yang lain dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan.

    Hari ini, kepulan debu tebal menyelubungi ibu negara Baghdad dalam cahaya warna jingga dan juga menyelubungi bandar-bandar lain termasuk Najaf ke selatan, dan Sulaimaniyah di utara rantau autonomi Kurdish, kata wartawan AFP.

    Pihak berkuasa di tujuh daripada 18 wilayah Iraq, termasuk Baghdad, mengarahkan pejabat kerajaan ditutup.

    Namun pusat kesihatan masih dibuka kepada mereka yang paling berisiko, termasuk warga emas dan penduduk yang mengalami penyakit pernafasan kronik dan penyakit jantung.

    Menjelang tengah hari, sekurang-kurangnya 2,000 orang yang dimasukkan ke hospital di seluruh Iraq memerlukan oksigen, kata jurucakap kementerian kesihatan Seif al-Badr.

    Ribut pasir mengurangkan jarak penglihatan kepada 300 meter di lapangan terbang Baghdad, mendorong pihak berkuasa menutup ruang udara dan membatalkan penerbangan, lapor agensi berita INA.

    Ribut pasir terbaharu dijangka reda beransur-ansur pada petang ini, menurut perkhidmatan cuaca. – AFP

    Penduduk berjalan di jalan al-Rasoul menuju ke tempat suci Imam Ali semasa ribut pasir di bandar Najaf kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...