BAGHDAD, 22 DIS – Iraq telah menandatangani satu perjanjian untuk menerima 1.5 juta dos vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech pada awal 2021, kata kementerian kesihatan.
Negara itu antara negara paling teruk terjejas di Timur Tengah, dengan lebih daripada 580,000 kes dilaporkan walaupun jumlah itu telah merosot mendadak dalam beberapa minggu ini.
Jurucakap kementerian kesihatan Seifal-Badr memberitahu televisyen lewat semalam bahawa Iraq telah ‘memeterai perjanjian awal dengan Pfizer, yang akan tiba secara berperingkat awal tahun depan.’
“Iraq telah menempah vaksinnya,” kata beliau, dengan tentera dan warga emas diutamakan dalam program vaksinasi. Setiap orang memerlukan dua suntikan vaksin, maka tempahan akan mencakupi 750,000 daripada 40 juta penduduk Iraq.
Presiden Barham Saleh berkata Iraq berhasrat menyediakan suntikan secara percuma untuk rakyatnya.
Pegawai Barat di Iraq memberitahu AFP bahawa Washington telah menggesa Baghdad supaya memilih Pfizer-BioNTech berbanding opsyen lain.
“Isu penghantaran dan transaksi kewangan masih dalam perbincangan,” kata Badr, menambah Iraq mempunyai peralatan yang diperlukan untuk mengagih vaksin tersebut dengan selamat. – AFP






























