Iraq terus kecoh, angka kematian meningkat 104

BAGHDAD, 7 OKT – Kekacauan di Iraq semakin memuncak semalam apabila lapan lagi maut dan 15 cedera pada hari keenam bantahan terhadap rasuah, pengangguran dan kegagalan perkhidmatan awam.

Keganasan terbaharu menjadikan angka kematian meningkat 104 dan lebih 6,000 cedera, termasuk lapan anggota keselamatan dalam masa tidak sampai seminggu kekacauan berlaku, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Saad Maan, semalam.

Seramai 6,107 lagi cedera termasuk 1,241 anggota keselamatan, kata Maan, sambil menambah 52 kenderaan awam dan entiti keselamatan musnah apabila penunjuk perasaan bertindak ganas.

Seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali semalam menyerang pejabat media tempatan dan asing, termasuk NRT, Dijlah dan Televisyen al-Arabiya dan Televisyen al-Hadath yang berpangkalan di Arab Saudi.

Lapan pejabat parti politik dan dua pusat pemeriksaan keselamatan telah dibakar.

Tambahnya siasatan insiden itu sedang dijalankan.

Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi, telah mengumumkan beberapa siri pembaharuan selepas sesi mesyuarat Kabinet luar biasa tengah malam, tetapi ahli politik memberitahu ia tidak cukup untuk menamatkan bantahan. – AP/Bernama