Iraq tolak sertai gabungan

BAGHDAD, 20 SEPT – Kementerian Hal Ehwal Luar Iraq pada Khamis berkata negara itu tidak akan menyertai mana-mana pasukan atau gabungan yang ditugaskan melindungi kawasan perairan Teluk, lapor agensi berita China memetik agensi berita rasmi Iraq.

Jurucakap kementerian itu Ahmed al-Sahaf mengesahkan bahawa Iraq tidak akan berbuat demikian dan menolak penyertaan Israel dalam pasukan tersebut.

“Keselamatan di Teluk tanggungjawab negara Teluk,” kata al-Sahaf. Penolakan Iraq itu adalah sebahagian daripada dasarnya untuk kekal berkecuali ketika ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah antara Washington dan Tehran.

Terdahulu, Menteri Luar Iraq Mohammed al-Hakim mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran Mohammad Javad Zarif berkaitan langkah mengekalkan keamanan serantau.

Sebelum itu, Pentagon telah membentuk satu gabungan yang diketuai AS bagi melindungi kapal-kapal saudagar di Teluk selepas beberapa siri serangan berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Menteri Pertahanan Iran Amir Hatami pada Ogos mengkritik pembentukan gabungan itu dan berkata langkah sedemikian akan menjadi “amat provokatif dan mempunyai kesan yang buruk” ke atas rantau tersebut. – Bernama