Ireland tundukkan ‘Speedy Tigers’

KUALA LUMPUR, 6 OKT – Skuad hoki lelaki Malaysia kecundang dalam perlawanan ujian pertama menentang Ireland dengan kekalahan tipis 3-2 menerusi jaringan daripada dua pemain debut lawan di Kelab Hoki Lisnagarvey, Ireland semalam.

Pasukan Ireland itu bermula garang menerusi jaringan padang Sam Hyland seawal minit kedua, sebelum Conor Empey menggandakan jaringan enam minit kemudian menerusi satu lagi jaringan padang, dengan kedua-dua pemain membuat penampilan pertama untuk Ireland.

Skuad ‘Speedy Tigers’ mengambil tempoh sehingga penghujung suku ketiga untuk bangkit apabila Mohd Azrai Aizad Abu Kamal berjaya meledak gol padang pada minit ke-45, sebelum pakar pukulan sudut, Muhammad Razie Abdul Rahim menyamakan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Bagaimanapun, Conor muncul wira pasukan yang menduduki ranking ke-14 dunia itu, apabila melengkapkan pukulan sudut penalti tiga minit sebelum wisel penamat (minit ke-57) ke atas Malaysia yang menghuni tangga ke-11 dunia. – Bernama